Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

islamic Pictures, Images and Photos

Monday, July 20, 2009



MASA BERLALU TAKKAN KEMBALI


"Kenapa tak siapkan kerja itu?".....'Alahai nak buat cam mana tak cukup masa'.....Inilah ayat yang selalu keluar dari mulut kita bila ada sahaja kerja yang tidak dapat diselesaikan...Setiap hari, setiap detik, masa tetap akan berlalu. Detik-detik masa yang telah hilang tidak akan dapat di cari ganti dan tidak akan datang lagi. 'Kalaulah masa dapat di undur'......Hasan al-Basri pernah berkata:" Tidak ada suatu hari pun bila terpancar sahaja fajar, melainkan masa akan menyeru kepada kamu: 'Wahai anak Adam! Aku masa yang baru. Hanya pekerjaan kamu menjadi saksi. Maka ambillah daku untuk bekalanmu. Sesungguhnya selepas aku pergi aku tidak akan kembali lagi hinggalah ke hari Kiamat' .


Dalam sebuah syair ada menyebut:

Hai masa.......!
Kiranya umur remaja
Datang menjelma
Sehari dua
Nescaya ku cerita
Rasa orang tua

Seorang penyair arab membayangkan bahawa setiap umur yang berlalu, detik-detik masa yang telah pergi tidak mungkin dapat diganti. Tidak mungkin ianya akan berulang lagi. Rintihan inilah yang diluahkan dalam rangkapan syairnya yang berbunyi:

Semua yang hidup bagai dalam bahtera pelayaran
Setiap hari dan bulan kian jauh dalam perjalanan
Berhari bermalam semuanya bagai dalam impian
Dunia ditinggalkan akhirnya kubur jua yang berdekatan

Masa adalah milik manusia yang paling beharga kerana masa adalah jadual waktu (time-table) bagi setiap pekerjaan dan produktiviti. Di sudut realitinya, masa merupakan hakikat suatu saham permodalan buat individu dan masyarakat. Masa sangat berharga lebih dari segalanya. Hasan al-Banna mengunggkapkan:
Dia (masa) hidup! Tidak ada ertinya hidup manusia, selain dari masa-masa yang dia beramal, sejak dari dia lahir hinggalah ke saat yang terakhir. Sesungguhnya kau hidup hanya beberapa hari. Setiap hari yang berlalu pergi, maka hilanglah separuh dari umurmu.

Ramai daripada kita tidak tahu untuk menghargai masa. Benarlah kata orang...semasa ada kita tidak hargai...bila tiada barulah kita tercari-cari. Saat itu barulah datang rasa menyesal...kenapalah aku tadi tak menyiapkan kerja itu cepat-cepat.......maka timbullah kalau....kalau....kalau.....

Allah berfirman yang bermaksud:

Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya), dan (ingatlah), sesiapa Yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang Yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu Dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa Yang sedikit sahaja lagi, supaya Aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang Yang soleh ".

(al-Munafiqun: 9-10)

Sebenarnya banyak masa yang selalu kita sia-siakan, tetapi tidak kita sedari. Orang yang mensia-siakan waktu sangat dibenci oleh Allah. Pepatah Arab ada mengatakan:

'Waktu itu seperti pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka dia pula akan memotong kamu'


Kita mesti berusaha menjadikan hari ini lebih baik, baik lagi dari hari semalam. Dan hari esok mesti lebih baik dari hari ini. Siapa yang di hari-hari mukanya masih kurang baik dari hari-hari yang sudah, maka dia masih lemah. Siapa yang di hari mukanya lebih buruk dari hari yang sudah-sudah, maka dialah yang terkutuk!. Abdullah Ibn Mas'ud berkata:

"Belum pernah saya menyesal melainkan penyesalan saya di setiap hari apabila terbenam matahari, semakin singkat umur saya ini, sedangkan amalan saya takut-takut tidak bertambah!"


Alangkah baiknya jika setiap hari kita berfikiran sedemikian. Padahal kita langsung tak fikir begitu......fikir alamak dah tua, kereta tak de lagi, rumah tak beli lagi, duit tak cukup lagi....eeee banyaknya nak beli......bla...bla...bla...Hal dunia yang banyak menyesakkan otak. Langsung tiada bekalan akhirat nak fikir. 'Aku semakin hari makin meningkat umur....alahai cam mana, amal tak cukup lagi....Mekah tak pergi lagi....Quran tak khatam lagi...duit banyak tak jariah lagi'...Kalaulah setiap hari keluar begitu dari mulut kita, terasa dekatnya dengan Pencipta. Itu sebab kita dilupai Allah, kita selalu lupakan Dia!. Kata seorang penyair:


Bila berlalu sehari dalam hidupku
Hidayahku masih belum bertambah mutu
Kerana aku tidak dapat menambah ilmu
Hari itu tiada ertinya dalam hidupku


Banyak nikmat Allah bagi kepada kita. Dan dua nikmat Allah yang kebanyakan manusia kabur mata melihatnya ialah masa sihat dan masa lapang. Seorang penyair berkata seorang lelaki yang hidupnya mewah dengan harta benda lebih merbahaya. Sebabnya dengan masa yang kosong itu dan banyak pula wang yang ada padanya itu menjadikannya lebih mudah terjerumus ke lubang maksiat. Kata penyair ini dengan kata-katanya:

Seorang pemuda yang menganggur
Hidup dalam keluarga aman makmur
Dia terdedah dalam kerja kotor
Sebarang kerja yang mencemar
Masa yang kosong mendatangkan berahi
Setiap waktu dengan perkara keji
Masa kosong tidak dinikmati
Menyebabkan bala datang menguji


Kita suka menangguhkan masa....'eh nantilah..kejab lagi buat'....Bukannya apa alasan ini kadang-kadang disebabkan malas bukannya sibuk. Sepatutnya buatla dahulu kerja yang perlu disiapkan itu selagi terdaya...Semasa Allah memberi kita nikmat sihat...sudahkan dulu kerja yang sepatutnya disiapkan...Jika kita malas lalu lalai..itulah yang sikit jadi banyak...yang banyak jadi melimpah....yang melimpah itulah bila tengok jadi menyampah..Pastu tiba-tiba Allah memberi pula rasa sakit...yang melimpah tadi duduklah di situ tak jugak bergerak......yang adanya jadi makin bertambah.....takutnya! Bila nak siap ni......Barulah bingung dan sesal....


Pekerjaan hari ini ditangguh esok
Kerana segan bukannya sibuk
Siapa tahu hari esok
Mungkin ajal datang menjenguk!

Kerja hari ini jangan dilewati
Kerana malas menyusuk diri
Di hari esok belum kau pasti
Mungkin lemah datang lagi

Selesaikan kerja hari ini
Janganlah ditangguh sampai ke pagi
Siapa jamin di esok hari
Malang tak berbau datang dekati?

Kita membebel kepada masa
Masa bukan membawa dosa
Andai masa boleh berkata
Nescaya kita akan didakwanya

Daku bertanya kepada masa
Masa bodoh jahil berleluasa
Keburukan boleh dibangga
Kejahatan turut serta

Hati ingin bertanya
Ada jalan ke arah mulia
Jalannya hanya dua perkara
Pertama jahil kedua leka


Hargailah masa kita yang Allah kurniakan ini dan ambillah segala pengajaran apa yang telah kita lakukan dari hari siang sampailah ke malam. Dengan pertukaran siang malam ini dari masa ke semasa, akhirnya yang baru menjadi lama, umur yang panjang jadi pendek, kanak-kanak jadi dewasa dan orang tua akan berkubur. Seperti kata penyair:


Kanak-kanak kian dewasa
Orang tua akan ke pusara
Pertukaran dari masa ke semasa
Pagi bertukar malam dan seterusnya
Malam kian beraunsur tua
Siang hari datang menjelma
Setiap yang muda menjadi tua
Akhirnya ke pusara tempatnya semua


Sabda Nabi s.a.w:
" Sewajarnya setiap orang yang berakal selagi akal fikirannya tidak hilang, maka hendaklah dia membahagikan masanya kepada empat waktu iaitu:

Waktu untuk dia bermunajat berzikir kepada Tuhannya Waktu untuk dia bermuhasabah tentang dirinya
Waktu untuk dia berfikir berhubung dengan barang-barang ciptaan Allah
menumpukan kepada kehidupannya, keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.










No comments:

Post a Comment