Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

islamic Pictures, Images and Photos

Thursday, July 23, 2009

BIDADARI SYURGA

Al- Ashmai' pernah bercerita:

" Aku masuk di sebuah kampung. Tiba-tiba aku menjumpai seorang perempuan yang cantik jelita tetapi dia bersuamikan seorang lelaki yang paling hodoh wajahnya. Lalu aku bertanya kepada wanita itu: ' Hai wanita! Adakah dirimu senang berada di bawah suamimu yang seperti itu?'. Wanita cantik ini menjawab: ' Diam!! Tuan telah berbuat jahat tentang perkataan tuan itu. Semoga suamiku telah berbuat baik di antara dia dan Khaliknya, lalu dia menjadikan pahalanya untukku. Atau mungkin aku telah berbuat jahat di antara aku dan Khalikku, maka Allah menjadikan dia sebagai seksaan bagiku. Adakah patut aku tidak redha dengan apa yang diredhai Allah untukku?'

Al-Ashmai' bercerita lagi:

" Aku melihat juga di sebuah kampung ada seorang wanita yang berbaju kurung merah. Dia telah mencat dirinya ( bersolek ), manakala di tangannya memegang seutas tasbih. Lalu aku berkata: 'Alangkah jauhnya ini daripada ini ( maksudnya antara bersolek dan bertasbih )". Maka wanita ini lantas menjawab:

" KePuNyAaN ALLAH dAriPaDakU SuAtU sEgI

YaNg TiDaK aKaN aKu SiA-SiAkaN

DaN DaRiPaDaKu SenDiRi sUaTu SeGi

UnTuK kEiNDaHaN dAn PerMaiNan"




DIA HADIAH TUHAN

DULU
…….SEBELUM DATANGNYA WAKTU ITU……..
Ingatkah suatu masa dulu Sebelum bertemu
Hanya Tuhan yang tahu
Kepada-Nya berdoa selalu
Bila keputusan bercelaru
Dikatakan jualnya mahal bukannya malu
Melukainya meresahkan kalbu
Sedangkan api cinta marak bahangnya memburu
Pada Allah tersimpan rahsianya jauh di kalbu
Di luarannya nampak tenang begitu
Di hatinya iman ditentang hanya Allah yang tahu
Antara dua cinta yang saling berebut mahu
Cinta Allah selalu mengunggul dulu
Hari demi hari masa berlalu
Kepada nafsu dipesan selalu
Fikirlah dahulu
Keputusan jangan melulu

………..SEBELUM HADIRNYA RASA ITU………...
Dikatakan orang diam saja
Sedangkan dia masih berwaspada
Kata orang mengapa tak punya rasa
Sedangkan dia tetap ceria
Kata orang mengapa dia bahagia
Sedangkan dia tak punya cinta
Kata orang mengapa mantap hatinya
Tapi tiada lelaki penguatnya
………..BILA RASA DATANG BERTAMU…....…
Menghitung diri
Memuhasabah langkah untuk berdiri
Kerana masih banyak kurangnya sana sini
Tatkala datangnya lagi seorang lelaki
Hanya bisu berdiam diri mulut terkunci
Kerana Lelaki kekasih Allah itulah harapan dicari
Pejuang agama itulah pembimbing yang diimpi
Redha ibubapa itulah redha Ilahi
Bukan dia tidak punya hati
Bila kekasih datang di sisi
Membuat silap jauh ke tepi
Namun mengalah tidak sekali
Menjadi seorang mukminat sejati
Itulah usahanya tiap hari
Kerana doa berkatnya digenggami
Bagaikan memakai pewangi
Baunya sama-sama dinikmati
……..BILA DIA KU MILIKI…….
Dialah suami penuh kewibawaan
Bukan yang dimimpi tapi yang diangankan
Tepat pilihan kini digenggaman
Akan ditatang penuh keikhlasan
Menjadi bidadari sudah impian
Tetap menjejak penuh harapan
Cinta Allah dalam keredhaan
Moga beroleh Syurga idaman

Wednesday, July 22, 2009



AKU WANITA DI MANA CANTIKNYA!

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, maka hilanglah cintaku padamu."
(Imam Nawawi)

Kecantikan seorang wanita, Nafsu mengungkapkan atas dasar rupanya

Kecantikan seorang wanita, Akal mengungkapkan atas dasar ilmu dan kepintarannya

Kecantikan seorang wanita, hati mengungkapkan atas dasar akhlaknya





Kecantikan seorang wanita, sebagai gadis
Bukan kerana merah kilauan lipstik dan pada mekarnya senyuman kosmetik
Kecantikan seorang wanita, sebagai remaja
Tidak pada kulitnya mulus menggebu terdedah tatapan semua
Kecantikan seorang wanita, sebagai Hawa
Tidak kerana kebijaksanaannya meruntuh iman kaum Adamnya
Kecantikan seorang wanita, sebagai anak
Tidak menjerat diri pada kedurhakaan yang melanyak
Kecantikan seorang wanita, sebagai isteri
Merempuh badai di sisi suami dengan ketaatan yang hakiki
Kecantikan seorang wanita, sebagai menantu
Menjauhi pertelingkahan ipar duai yang kadang-kadang bagaikan hantu

Kecantikan seorang wanita, sebagai ibu
Membuai anak kala suami menjalin mimpi buat-buat buntu
Kecantikan seorang wanita, sebagai mertua
Telus hati mengagih kasih setara pada semua tanpa mengira habuannya
Kecantikan seorang wanita, sebagai nenek
Menunjukkan teladan para Anbia’ buat cucu-cicit menjadi Hukama’
Kecantikan seorang wanita, sebagai warganegara
Peka membela nasib dan maruah Negara untuk kesejahteraan semua
Kecantikan seorang wanita, sebagai warga tua
Menghitung hari dengan selembar Mashaf sebagai bekalan di alam sana
Kecantikan seorang wanita, sebagai intelektualis
Menyala obor mewangi setanggi profesionalis
Kecantikan seorang wanita, sebagai muslimah solehah
Mengulam rindu sentiasa pasrah di atas sejadah


..............JADIKANLAH.........


Fatimah sebagai teladannya

Aishah sebagai buktinya

Khadijah sebagai kebanggaannya

Rabiatul Adawiyah sebagai idolanya

Sumayyah sebagai obornya

Khawlah sebagai kecemburuannya

‘Atikah sebagai kekagumannya

Nusaybah sebagai pahlawannya


AKUKAH WANITA INI?


Inginku jadi WANITA SOLEHAH mendamba diri pada Ilahi
Memasukkan impian dalam mimpiku di malam hari
Menganyam anganku di siang hari
Menjadikan bicaraku meniti di bibir sehari-hari


…………..KERANA…………..


Menjadi isteri kenalah sentiasa berbakti
Memberi kepada suamiku segala budi
Pasti pilihan Allah akan terbukti
Yang di beri-Nya pada insan yang Dia ingini
Inilah sumpah janji yang sudah pasti!


………………JANGANLAH……………..


Takut dengan kehilangan cinta
Biar pun pelbagai ujian datang melanda
Setiap lelaki itu perlukan masa
Dengan segala keputusan terbaiknya
Itulah calon ibu buat zuriatnya!
Penyeri dunia itulah temannya!
Di Syurga itulah bidadarinya!


…………..JADIKANLAH……………


Setiap lelaki nakhoda yang berwibawa
Sedarkanlah mereka dengan peranannya
Ingatkanlah pada mereka bahawa wanita bukan mainannya
Tetapi ia mutiara yang penuh nilaiannya





Monday, July 20, 2009



MASA BERLALU TAKKAN KEMBALI


"Kenapa tak siapkan kerja itu?".....'Alahai nak buat cam mana tak cukup masa'.....Inilah ayat yang selalu keluar dari mulut kita bila ada sahaja kerja yang tidak dapat diselesaikan...Setiap hari, setiap detik, masa tetap akan berlalu. Detik-detik masa yang telah hilang tidak akan dapat di cari ganti dan tidak akan datang lagi. 'Kalaulah masa dapat di undur'......Hasan al-Basri pernah berkata:" Tidak ada suatu hari pun bila terpancar sahaja fajar, melainkan masa akan menyeru kepada kamu: 'Wahai anak Adam! Aku masa yang baru. Hanya pekerjaan kamu menjadi saksi. Maka ambillah daku untuk bekalanmu. Sesungguhnya selepas aku pergi aku tidak akan kembali lagi hinggalah ke hari Kiamat' .


Dalam sebuah syair ada menyebut:

Hai masa.......!
Kiranya umur remaja
Datang menjelma
Sehari dua
Nescaya ku cerita
Rasa orang tua

Seorang penyair arab membayangkan bahawa setiap umur yang berlalu, detik-detik masa yang telah pergi tidak mungkin dapat diganti. Tidak mungkin ianya akan berulang lagi. Rintihan inilah yang diluahkan dalam rangkapan syairnya yang berbunyi:

Semua yang hidup bagai dalam bahtera pelayaran
Setiap hari dan bulan kian jauh dalam perjalanan
Berhari bermalam semuanya bagai dalam impian
Dunia ditinggalkan akhirnya kubur jua yang berdekatan

Masa adalah milik manusia yang paling beharga kerana masa adalah jadual waktu (time-table) bagi setiap pekerjaan dan produktiviti. Di sudut realitinya, masa merupakan hakikat suatu saham permodalan buat individu dan masyarakat. Masa sangat berharga lebih dari segalanya. Hasan al-Banna mengunggkapkan:
Dia (masa) hidup! Tidak ada ertinya hidup manusia, selain dari masa-masa yang dia beramal, sejak dari dia lahir hinggalah ke saat yang terakhir. Sesungguhnya kau hidup hanya beberapa hari. Setiap hari yang berlalu pergi, maka hilanglah separuh dari umurmu.

Ramai daripada kita tidak tahu untuk menghargai masa. Benarlah kata orang...semasa ada kita tidak hargai...bila tiada barulah kita tercari-cari. Saat itu barulah datang rasa menyesal...kenapalah aku tadi tak menyiapkan kerja itu cepat-cepat.......maka timbullah kalau....kalau....kalau.....

Allah berfirman yang bermaksud:

Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya), dan (ingatlah), sesiapa Yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang Yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu Dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa Yang sedikit sahaja lagi, supaya Aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang Yang soleh ".

(al-Munafiqun: 9-10)

Sebenarnya banyak masa yang selalu kita sia-siakan, tetapi tidak kita sedari. Orang yang mensia-siakan waktu sangat dibenci oleh Allah. Pepatah Arab ada mengatakan:

'Waktu itu seperti pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka dia pula akan memotong kamu'


Kita mesti berusaha menjadikan hari ini lebih baik, baik lagi dari hari semalam. Dan hari esok mesti lebih baik dari hari ini. Siapa yang di hari-hari mukanya masih kurang baik dari hari-hari yang sudah, maka dia masih lemah. Siapa yang di hari mukanya lebih buruk dari hari yang sudah-sudah, maka dialah yang terkutuk!. Abdullah Ibn Mas'ud berkata:

"Belum pernah saya menyesal melainkan penyesalan saya di setiap hari apabila terbenam matahari, semakin singkat umur saya ini, sedangkan amalan saya takut-takut tidak bertambah!"


Alangkah baiknya jika setiap hari kita berfikiran sedemikian. Padahal kita langsung tak fikir begitu......fikir alamak dah tua, kereta tak de lagi, rumah tak beli lagi, duit tak cukup lagi....eeee banyaknya nak beli......bla...bla...bla...Hal dunia yang banyak menyesakkan otak. Langsung tiada bekalan akhirat nak fikir. 'Aku semakin hari makin meningkat umur....alahai cam mana, amal tak cukup lagi....Mekah tak pergi lagi....Quran tak khatam lagi...duit banyak tak jariah lagi'...Kalaulah setiap hari keluar begitu dari mulut kita, terasa dekatnya dengan Pencipta. Itu sebab kita dilupai Allah, kita selalu lupakan Dia!. Kata seorang penyair:


Bila berlalu sehari dalam hidupku
Hidayahku masih belum bertambah mutu
Kerana aku tidak dapat menambah ilmu
Hari itu tiada ertinya dalam hidupku


Banyak nikmat Allah bagi kepada kita. Dan dua nikmat Allah yang kebanyakan manusia kabur mata melihatnya ialah masa sihat dan masa lapang. Seorang penyair berkata seorang lelaki yang hidupnya mewah dengan harta benda lebih merbahaya. Sebabnya dengan masa yang kosong itu dan banyak pula wang yang ada padanya itu menjadikannya lebih mudah terjerumus ke lubang maksiat. Kata penyair ini dengan kata-katanya:

Seorang pemuda yang menganggur
Hidup dalam keluarga aman makmur
Dia terdedah dalam kerja kotor
Sebarang kerja yang mencemar
Masa yang kosong mendatangkan berahi
Setiap waktu dengan perkara keji
Masa kosong tidak dinikmati
Menyebabkan bala datang menguji


Kita suka menangguhkan masa....'eh nantilah..kejab lagi buat'....Bukannya apa alasan ini kadang-kadang disebabkan malas bukannya sibuk. Sepatutnya buatla dahulu kerja yang perlu disiapkan itu selagi terdaya...Semasa Allah memberi kita nikmat sihat...sudahkan dulu kerja yang sepatutnya disiapkan...Jika kita malas lalu lalai..itulah yang sikit jadi banyak...yang banyak jadi melimpah....yang melimpah itulah bila tengok jadi menyampah..Pastu tiba-tiba Allah memberi pula rasa sakit...yang melimpah tadi duduklah di situ tak jugak bergerak......yang adanya jadi makin bertambah.....takutnya! Bila nak siap ni......Barulah bingung dan sesal....


Pekerjaan hari ini ditangguh esok
Kerana segan bukannya sibuk
Siapa tahu hari esok
Mungkin ajal datang menjenguk!

Kerja hari ini jangan dilewati
Kerana malas menyusuk diri
Di hari esok belum kau pasti
Mungkin lemah datang lagi

Selesaikan kerja hari ini
Janganlah ditangguh sampai ke pagi
Siapa jamin di esok hari
Malang tak berbau datang dekati?

Kita membebel kepada masa
Masa bukan membawa dosa
Andai masa boleh berkata
Nescaya kita akan didakwanya

Daku bertanya kepada masa
Masa bodoh jahil berleluasa
Keburukan boleh dibangga
Kejahatan turut serta

Hati ingin bertanya
Ada jalan ke arah mulia
Jalannya hanya dua perkara
Pertama jahil kedua leka


Hargailah masa kita yang Allah kurniakan ini dan ambillah segala pengajaran apa yang telah kita lakukan dari hari siang sampailah ke malam. Dengan pertukaran siang malam ini dari masa ke semasa, akhirnya yang baru menjadi lama, umur yang panjang jadi pendek, kanak-kanak jadi dewasa dan orang tua akan berkubur. Seperti kata penyair:


Kanak-kanak kian dewasa
Orang tua akan ke pusara
Pertukaran dari masa ke semasa
Pagi bertukar malam dan seterusnya
Malam kian beraunsur tua
Siang hari datang menjelma
Setiap yang muda menjadi tua
Akhirnya ke pusara tempatnya semua


Sabda Nabi s.a.w:
" Sewajarnya setiap orang yang berakal selagi akal fikirannya tidak hilang, maka hendaklah dia membahagikan masanya kepada empat waktu iaitu:

Waktu untuk dia bermunajat berzikir kepada Tuhannya Waktu untuk dia bermuhasabah tentang dirinya
Waktu untuk dia berfikir berhubung dengan barang-barang ciptaan Allah
menumpukan kepada kehidupannya, keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.










Monday, July 13, 2009

BAIK BUDI MULIA PEKERTI

Pergi ke kedai beli cuka
Beli cuka dengan gula
Indahnya hidup bagai bulan purnama
Kadang-kala bagaikan tiba gerhana

Merahnya muka sakitnya gigi
Takut dicabut pasti lari
Hidup adalah anugerah ilahi
Wajib disyukuri dan hargai
Pak uda suka melatah
Melatah dengan si anak jiran
Jika kita pergi berziarah
Jangan lupa bawa buah tangan
Makan buah terasa kenyang
Tetap juga minum jamu
Pada orang yang kita sayang
Janganlah buat tak tahu
Cantik sungguh rantai tangan
Di beli mak Tok dari Mekah
Ilmu yang tidak diamalkan
Bagai pohon tidak berbuah
Nyonya jual buah ciku
Habis jatuh dilanggar kambing
Banyak harta tak ada ilmu
Bagai rumah tiada berdinding

Angin sepoi menderu pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asalkan pandai mengambil hati
Kembangnya bunga di waktu pagi
Dipetik oleh si Muthuramu
Ke mana pun kamu pergi
Jangan asyik cakap melulu
Daun sirih ulam cik Narti
Makan sekapur lalu mati
Walau ilmu selangit tinggi
Janganlah cuba meninggi diri
Cantik sungguh rehal diukir
Dibawa orang dari hulu
Sebarang kerja hendaklah difikir
Supaya jangan mendapat malu

Tulis surat dalam gelap
Banyak salah sini sana
Jagalah diri jangan tersilap
Jikalau silap awak yang bencana
Jangan pergi mandi di lombong
Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan cuba bercakap sombong
Semua orang akan membenci

Sedap sungguh daun kecur
Makan bersama ulam raja
Jika kita bercakap jujur
Hidup kita dipandang mulia
Jikalau tuan memasukkan barang
Masukkan semua ke dalam peti
Kerja yang susah menjadi senang
Jika semua anak bersatu hati

Kayu bakar dibuat arang
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan suka menyalahkan orang
Cerminlah dulu diri sendiri
Selasih tumbuh di tepi telaga
Lantas di makan si anak kuda
Kasih ibu membawa ke syurga
Kasih saudara di mana berada

Encik Seman pergi ke Chili
Pergi pagi baliknya petang
Kalau Tuhan hendak memberi
Pintu terkunci rezeki datang
Sembur ubat bawah meja
Sebabnya cik Ti masuk rumah
Dari muda sampai ke tua
Amalan baik jangan di ubah

Tengah hari cik Amin mengail
Dapat seekor ikan tenggiri
Jangan diamal sifat bakhil
Nanti merosak diri sendiri
Pagi hari minum susu
Susu di campur biji selasih
Rosak iman kerana nafsu
Rosak hati kerana kasih

Tukang kayu buat bilik
Untuk tidur anak dara
Apa guna beristeri cantik
Kalau tidak dengan pekertinya
Pergi beli kayu jati
Tak dipakai buatlah arang
Biar pandai membawa diri
Takut nanti diejek orang

Sedap sungguh nasi kawah
Dihidang dengan lauk terung
Kalau sudah kehendak Allah
Rezeki segenggam jadi sekarung
Kayu cendana di atas batu
Sudah diikat di bawa pulang
Adab di dunia memang begitu
Benda buruk tidak dipandang
Roti kaya airnya bandung
Jadi hidangan datuk panglima
Walau harta banyak di kendong
Tidak sembahyang apa gunanya

Burung merpati buat sarang
Buat sarang tepi jendela
Jangan suka melalaikan sembahyang
Bila mati masuk neraka
Sakit tangan bawa barang
Terus letak atas meja
Jangan suka memfitnah orang
Orang benci Tuhan pun murka
Di tepi sungai Ali menyinggah
Menghilangkan penat menahan jerat
Orang tua jangan disanggah
Hilang mulia hilang berkat
Adik jatuh banyaknya darah
Lantas di bawa ke rumah tok
Kalau suka membuat fitnah
Pergi ke mana orang mengutuk
Jolok buah panjangnya galah
Nampak pula burung belatuk
Kalau suka berniat salah
Semua orang dipandang buruk
Andai hendak beli rusa
Janganlah pergi ke pasar unta
Moga amalan kita semua
Diterima oleh Allah Maha Esa
Pahit sungguh rasa peria
Melekat digigi buang saja
Jadilah insan berhati mulia
Baik budi baik bahasa

Friday, July 10, 2009

cinta................................
bagaikan bersama jadinya bahagia
bagaikan berpisah berharap esok akan bersua
bagaikan terputus pertikaian berlarut
bagaikan ditinggalkan terasa sakit dihati hilang bertaut
bagaikan suka jauh dalam dasar hati
bagaikan duka ditinggal kekasih jadilah mati
bagaikan berharap bermimpi tiap hari
bagaikan pungguk merindukan bulan di langit tinggi
bagaikan bodoh, buta, bisu dan tuli
bagaikan mukjizat hidup tersembunyi
bagaikan bertepuk sebelah tangan juga tak terasa
bagaikan burung dalam sangkar hilang punca
bagaikan pengorbanan seluruh hidup diberikan
bagaikan malaikat penyelamat datangnya pertolongan
bagaikan pura pura suka atau benci
bagaikan memberontak mengalahkan ego dan harga diri
bagaikan melayang terbawa angin syurga
bagaikan jatuh terhempas terbuang begitu saja
bagaikan sang dewi yang tiada duanya baginya
bagaikan pangeran gagah tampan mempesona

KISAH DUA KEBUN

Sebagaimana Allah telah membuat perbandingan antara orang kafir dengan orang yang beriman. Rujuk kisah ini dalam surah al-Kahfi ayat 32-42.


Ketika dulu, ada dua orang sahabat. Seorang pekebun kaya dan seorang lagi miskin. Si pekebun kaya mempunyai sebidang tanah yang luas. Dan dia juga seorang yang rajin dan kuat bekerja. Kebunnya menjadi dua buah kebun yang sangat cantik dan mekar buah-buahannya. Terdapat bermacam-macam jenis bunga dan tumbuh-tumbuhan terutamanya buah anggur dan kurma. Kebunnya juga di kelilingi oleh pokok-pokok kelapa sawit. Dan sungai yang mengalir di situ menjadikan kebunnya bertambah subur. Setiap kali pekebun itu melawat kebunnya dia berasa sangat gembira. Pokok-pokonya sarat dengan buah-buahan yang masak ranum. Dia mula berasa bangga dengan kebunnnya itu.

Pada suatu hari si pekebun miskin datang melawat si pekebun kaya. S i pekebun kaya itu lantas membawa kawannya itu melihat kebunnya yang cantik seraya berkata: "Aku sekarang menjadi lebih kaya daripada kamu. Aku juga lebih berpengaruh dan pengikutku juga ramai. Keluargaku juga lebih kaya daripada keluargamu. Aku tidak fikir bahawa kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan aku fikir juga bahawa hari kiamat tidak akan berlaku. Sekalipun aku meninggal dunia, tentu aku akan menemui tempat yang lebih baik daripada ini". Dia sebenarnya tidak sedar bahawa semuanya ini hanyalah khayalan semata-mata.

Melihat keadaan yang sombong itu, si petani miskin itu cuba menegurnya: " Patutkah engkau kufur kepada Allah yang menjadikan kamu daripada debu, dari segumpal darah lalu membentukmu sebagai seorang manusia?". Dia menambah: " Padaku, Allah itu adalah Tuhanku, dan aku tidak akan menyamakan sesiapapun denganNya". Dia lantas menasihati si pekebun kaya itu dengan berkata: " Apabila kamu masuk ke kebunmu ini kamu sepatutnya berkata: "Semua ini adalah kepunyaan Allah, tiada daya manusia melainkan dengan pertolongan daripada Allah. Apa yang Allah tetapkan akan berlaku, maka tiada kuasa selain Allah". Kata si miskin ini lagi: " Jika engkau melihatkan keadaanku, aku lebih miskin daripadamu, sangat kurang harta dan tidak dikurniakan anak, tetapi mungkin Allah akan memberiku taman yang lebih indah daripada tamanmu. Atau mungkin disebabkan keangkuhanmu ini Allah akan menurunkan petir dan guruh, dan menjadikan tanamanmu kering serta tandus dan engkau tidak akan mendapat hasil daripadanya".

Dan pada keesokannya, cuaca menjadi amat buruk sekali dan hujan turun dengan lebatnya. Semua hasil tanaman, buah-buahannya musnah dan dibinasakan Allah. Si pekebun kaya itu amat dukacita melihat segala yang diusahakannya musnah sekelip mata dan dia menyesal atas segala perbuatannya. Lantas dengan sedih dia berkata: " Kalaulah aku tidak menduakanmu, ya Allah!".

Dan ketika ini tiada sesiapapun yang akan datang menolongnya, selain daripada Allah dan dia pun tidak dapat membela dirinya sendiri.



SYUKUR JANGAN KUFUR


jangan engkau kufur dengan nikmat Tuhan


tetapi panjatkanlah kesyukuran penuh iman


hari ini semuanya Allah beri sekadar pinjaman


untuk melihat manusia terus sujud dengan limpahan


atau terus kufur jauh dari nikmat iman


rezeki diberikan Tuhan berbeza-beza setiap insan


tidak dapat dinafikan ada manusia yang sanggup mendapatkan rezeki dengan


cara yang songsang walaupun hasilnya lumayan


dan ada pula yang mencari rezeki dengan cara yang diredhai Allah walaupun


hasilnya tidak seberapa tadahan


janganlah terus-terusan percaya bahawa rezeki secupak takkan bertambahan


ubahlah cara kita berfikiran


jadikanlah masalah sebagai peluang keemasan


pasti yang secupak (padi) itu jadikanlah makanan


tetapi asingkanlah sesudu suapan


jadikanlah ia sebagai benih tanaman


lalu semaikanlah ia menjadi pepohonan


pasti sebiji benih akan menghasilkan 10 pokok yang mekarnya kelihatan


hinggakan secupak mungkin menjadi beratus-ratus beras yang bertan-tan


syukurilah segala apa yang Allah kurniakan


jauhkanlah hati untuk kufur nikmat Tuhan


janganlah sombong sama ada pada sikap, tingkah laku mahupun perkataan


pasti Allah akan murka dan tiada tempat selain neraka jahannam disediakan


Nabi s.a.w bersabda:
Sungguh ajaib keadaan orang mukmin, semua perkaranya bagus dan demikian itu hanya dimiliki oleh orang mukmin; kalau memperoleh kebahagiaan, dia bersyukur, maka demikian itu baik baginya. Jika di beri kesusahan, dia bersabar maka demikian itu juga baik baginya
(Hadis Riwayat Muslim)


Ibnu Ato’illah pernah berkata:


Jikalau anda diberi rezeki oleh Allah dalam bentuk ketaatan pada zahir dan batin, diberi rasa kaya oleh Allah dengan semata-mata hati bergantung kepada Allah maka sebenarnya anda telah dikurniakan oleh Allah berbagai-bagai rezeki dan nikmat yang lengkap pada zahir dan batin”.


rezeki Allah berikan sebenarnya bukan sahaja nikmat malahan ujian


sejak kita dilahirkan banyak sekali nikmat diberikan


yang pasti ianya tidak dapat dihitungkan


hayatilah untaian Indah dari Ibnu Qudamah untuk renungan


Ketahuilah bahawa segala yang dicari oleh setiap orang adalah nikmat. Akan tetapi kenikmatan yang hakiki adalah kebahagiaan di akhirat kelak dan segala nikmat selainnya akan lenyap. Semua perkara yang disandarkan kepada kita ada empat macam:


Pertama:


Sesuatu yang bermanfaat di dunia dan di akhirat seperti ilmu dan akhlak yang baik. Inilah kenikmatan yang hakiki.


Kedua:


Sesuatu yang memudaratkan di dunia dan di akhirat. Ini merupakan bala’ (kerugian) yang hakiki.


Ketiga:


Bermanfaat di dunia akan tetapi memudaratkan di akhirat seperti berlazat-lazat dan mengikuti hawa nafsu. Ini sesungguhnya bala bagi orang yang berakal, sekalipun orang jahil menganggapnya nikmat. Seperti seseorang yang sedang lapar lalu menemukan madu yang bercampur racun. Bila tidak mengetahuinya, dia menganggap sebuah nikmat dan jika mengetahuinya dia menganggapnya sebagai malapetaka.


Keempat:


Memudaratkan di dunia namun akan bermanfaat di akhirat sebagai nikmat bagi orang yang berakal. Contohnya ubat, bila dirasakan sangat pahit dan pada akhirnya akan menyembuhkan (dengan izin Allah). Seorang anak bila dipaksa untuk meminumnya dia menyangka sebagai malapetaka dan orang yang berakal akan menganggapnya sebagai nikmat. Demikian juga bila seorang anak mahu untuk dibekam, sang ayah pula berusaha menyuruh dan memerintahkan anaknya untuk melakukannya. Namun sang anak tidak mahu melihat akibat di belakang yang akan muncul berupa kesembuhan. (Begitupun) sang ibu akan berusaha mencegah kerana cintanya yang tinggi kepada anak tersebut karena sang ibu tidak tahu tentang maslahat yang akan muncul dari pengobatan tersebut. Sang anak menuruti apa kata ibunya. Hal ini disebabkan oleh ketidaktahuannya sehingga ia lebih menuruti ibunya daripada ayahnya. Bersamaan dengan itu sang anak menganggap ayahnya sebagai musuh. Jika sang anak berakal, nescaya dia akan menyimpulkan bahwa sang ibu merupakan musuh sesungguhnya dalam wujud teman dekat. Kerana larangan sang ibu untuk berbekam akan menggiringnya kepada penyakit yang lebih besar dibandingkan sakit kerana berbekam. Kerana itu, teman yang jahil lebih berbahaya dari seorang musuh yang berakal. Dan setiap orang menjadi teman dirinya sendiri, akan tetapi nafsu merupakan teman yang jahil. Nafsu akan berbuat pada dirinya apa yang tidak diperbuat oleh musuh.”


(Minhajul Qashidin hal. 281-282)


Nabi s.a.w juga bersabda:


Barangsiapa yang diberikan kebaikan kepadanya hendaklah dia membalasnya dan jika dia tidak mendapatkan sesuatu untuk membalasnya hendaklah dia memujinya. Kerana jika dia memujinya sungguh dia telah berterima kasih dan jika dia menyembunyikannya sungguh dia telah kufur. Dan barangsiapa yang berhias dengan sesuatu yang dia tidak diberi, sama halnya dengan orang yang memakai dua ­baju kedustaan.”


(Hadis Riwayat Abu Dawud)


Nabi s.a.w bersabda lagi:


"Barangsiapa tidak mensyukuri yang sedikit maka dia tidak akan mensyukuri atas yang banyak dan barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia maka dia tidak bersyukur kepada Allah. Menceritakan sebuah nikmat (yang didapati) kepada orang lain termasuk dari syukur dan meninggalkannya adalah kufur, bersatu adalah rahmat dan bercerai berai adalah azab.”


(Hadis Riwayat Ahmad)











Tuesday, July 7, 2009



AKU BUKAN MUSUH HARTA

Sabda Rasulullah s.a.w: " Suatu hari Umar berjumpa dengan Jabir bin Abdillah yang sedang membawa daging dari pasar. Ia lalu bertanya: " Apa yang engkau bawa itu wahai Jabir?" Jabir menjawab:" Ini daging". Aku membelinya sebab rasa teringin hendak makan daging". Sekali lagi Umar berkata:" Apakah setiap kali engkau menginginkan sesuatu maka engkau membelinya?"

Allah kasihkan orang yang zuhud daripada harta benda dunia

Kerana seringkali kita ditawan oleh harta benda dan kemewahan yang ada

Sehingga selalu lupakan Allah Yang Maha Pencipta

Dunia ini sebenarnya tahanan bagi orang mukmin dan syurga bagi kafir durjana

Hiduplah dalam dunia bagaikan musafir atau orang berdagang mencari 'cinta'

Dunia tetap dipuji jika ia dijadikan ladang untuk akhirat sana

Tetapi dikeji jika dunia hanya tempat menjamu selera

Dunia hanya jalan ke syurga atau ke neraka

Malam bagaikan pasar siang pula kedainya

Hiduplah dalam serba kepayahan diiringi usaha

Kerana nikmat pasti tidak kekal selama-lamanya

Zuhud bukannya dengan kemiskinan dan sering meminta-minta

Tetapi memiliki kekayaan dunia dan membelanjakannya pada jalan yang diredhaiNya

Jangan jadikan 'keiginan' sebagai asas kehidupan dalam mencari harta berganda-ganda

Sebab hakikat keinginan itu adalah nafsu yang tidak mengenal batasan kadang-kadang lupakan
Yang Maha Esa

Setiap kali diberi ia akan terus meminta

Jika ianya selalu dituruti ia pasti menuju pembaziran yang kita sendiri kadangkala jadi gila

Hidup berasaskan 'keperluan' akan menjadikan akal rasional lagi bijaksana

Dengan kebijaksanaannya akal pasti bijak memilih apa yang penting untuk diterima

Atau sama sekali tidak penting untuk dibawa

Ibnu Athaillah al-Sakandari ada berkata:
"Tuhan kita sangat pemurah. Tidak mungkin kita bekerja untuk-Nya sekarang, namun Dia membalasnya kemudian nanti"

Yakinlah kita sebagai hamba.......harta dunia hanya sementara

Sesungguhnya wang itu untuk semua peringkat hidup manusia

Melengkapkan lelaki dengan sifat ketinggian dan ketampanan jiwa

Dialah lisan bagi sesiapa yang inginkan fasih berbicara

Dialah senjata bagi sesiapa yang ingin masuk berperang di medan sana

Berusahalah dengan penuh wawasannya

Jika kita menanam maka kita jugalah yang berhak memetiknya

Ketahuilah...kekayaan jiwa lebih baik dari kekayaan harta

Kerana kekayaan sering menyebabkan keangkuhan di sisi manusia

Manusia selalu condong kepada orang yang banyak hartanya

Terkadang juga kerana harta orang hina dimuliakannya

Ingatlah....harta yang sedikit jika dijaga akan kekal selamanya dan keberkatan ada di situ jua

Harta yang banyak jika dirosak akan lenyap entah ke mana

Harta adalah amanah dari Allah untuk hambaNya

Yang suatu hari kelak akan diserahkan semula

Ibrahim al-Khawwas pernah berkata:
"Sesiapa yang meninggalkan keinginan nafsunya, namun ia tidak merasakan (kelazatan) di dalam hatinya, bererti ia tidak jujur dalam meninggalkannya".

Ubai bin Kaab pula berkata:
"Tidaklah seorang hamba meninggalkan sesuatu kerana Allah, melainkan Allah akan memberinya sesuatu yang lebih baik dari arah yang tak disangka-sangka".

Rasulullah s.a.w juga ada bersabda:
"Barangsiapa yang meninggalkan sehelai pakaian (kerana dorongan) tawaddhuk kerana Allah, maka Allah akan memanggilnya di hadapan semua makhluk lalu membiarkannya memilih baju-baju iman yang dikehendakinya".
(Hadis Riwayat Ahmad)

Ramai orang yang rajin beribadat binasa kerana kagum pada dirinya

Dan ramai juga orang yang sihat binasa kerana kesihatannya

Perangilah hawa nafsu yang banyak limpahannya

Sebagaimana kita memerangi musuh yang selalu datang ada ketikanya

Akal adalah barang yang paling mulia

Pandai-pandailah kita menggunakannya sebagai hamba

Sebaik-baik perkara ialah pertengahannya

Hidup seseorang adalah pakaian pinjaman sementara

Kerana seluruh manusia nanti akhirnya akan kembali ke tanah jua



















Monday, July 6, 2009


HANYA ALLAH TEMPAT PENGHARAPAN


"Orang mukmin yang kuat lebih utama dan lebih dikasihi Allah daripada muknin yang lemah, dan semua itu ada baiknya. Jagalah baik-baik apa yang boleh memberi manfaat kepada kamu dan sentiasalah memohon pertolongan daripada Allah, dan jangan bersifat malas! Andaikata anda ditimpa sesuatu, janganlah katakan "Kalaulah aku buat begini tentulah ini tidak berlaku", tetapi katakanlah: Allah telah mentakdirkan, dan apa yang dikehendaki Allah dilakukanNya kerana "Kalaulah" itu membuka pintu untuk campurtangan syaitan".


(Hadis Riwayat Muslim)


"Peliharalah Allah, nescaya engkau akan merasakanNya ada di hadapanmu. Kenallah Allah di waktu mewah, nescaya Dia akan mengenalmu di waktu susah. Ketahuilah apa yang menyimpang daripadamu itu, tidak akan menimpamu, dan apa yang menimpamu itu sebenarnya tidak akan menyimpang daripadamu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah. Andaikata sesuatu umat berkumpul untuk membuat sesuatu manfaat untukmu, nescaya tidak terdaya oleh mereka untuk membuatnya, melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah untukmu. Dan andaikata mereka berkumpul pula untuk merancang sesuatu mudharat untukmu, nescaya tidak akan terdaya oleh mereka untuk membuatnya, melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah untukmu. Dan ketahuilah sesungguhnya kemenangan itu akan terhasil sesudah kesabaran, dan kelapangan pula akan muncul sesudah kesusahan. Dan bersama-sama kesusahan itu akan datang kelapangan".


(Hadis Riwayat Al-Tirmidzi)