PESANAN LUQMANUL HAKIM
kepada anak-anaknya
wahai anakku.......
ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam,
ramai yang telah karam di dalamnya.
jika engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang
bernama taqwa, isinya ialah iman dan
layarnya adalah tawakal kepada Allah.
wahai anakku.......
orang yang berasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat
serta taat kepada Allah, maka dia itu orang yang tawaduk,
lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat.
wahai anakku.......
seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu,
maka marahnya ibu bapamu itu adalah bagaikan baja untuk
tanam-tanaman.
wahai anakku.....
ketahuilah memindahkan batu besar dari tempatnya itu lebih mudah
daripada mengajar orang yang tidak mahu diajar.
wahai anakku.......
apabila engkau mempunyai dua pilihan
menziarahi orang mati atau hadir ke majlis perkahwinan
pilihlah untuk menziarahi orang mati kerana ia
akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan
perkahwinan akan mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi semata-mata.
wahai anakku.....
janganlah engkau menelan sahaja kerana manisnya sesuatu makanan
dan janganlah memuntahkan sahaja kerana pahitnya sesuatu makanan itu
kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran
dan pahit belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
wahai anakku......
bukanlah satu kebaikan namanya bila mana engkau selalu mencari ilmu
tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya
kerana ia tidak ubah seperti orang yang mencari kayu api
tetapi setelah banyak ia tidak mampu memikulnya
padahal dia masih mahu mengumpulkannya.
wahai anakku.....
bila mana engkau mahu mencari kawan sejati
maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat ia marah
bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkanmu
maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan
jika tidak demikian maka berhati-hatilah.
wahai anakku....
bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu sebagai
orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya
biarkanlah ia mengharapkan sesuatu daripadamu.
wahai anakku.......
bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu
perhatikanlah kata-kata nasihatnya kerana sesungguhnya
sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya
hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya
bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
wahai anakku......
ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan
nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu
janganlah engkau tendang dunia ini
ke kanjang sampah kerana nanti engkau akan menjadi
pengemis yang membebankan orang lain
sebaliknya, janganlah engkau peluk dunia ini
serta meneguk habis airnya kerana
sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu
adalah tanah belaka.
No comments:
Post a Comment